Adik Mangsa Nahas DUKE Pecah Amanah & Guna Nama Mufti Untuk Ambil RM300k Duit Anak Yatim? Astaghfirullah

pecah-amanahAdik Mangsa Nahas DUKE Pecah Amanah & Guna Nama Mufti Untuk Ambil RM300k Duit Anak Yatim? Astaghfirullah

Semalam viral di media sosial berkenaan kes pecah amanah seorang adik kepada mangsa nahas kemalangan jalan raya di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE).

Hampir 17 bulan berlalunya tragedi sedih dan hiba yang menimpa 2 anak kecil ini. Kehilangan ibu dan ayah tercinta selepas kemalangan maut di Lebuhraya Duke tahun lepas.

Dalam kejadian menyayat hati itu, pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain dan Nova Safitri Azhari serta anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, tujuh bulan maut meninggalkan dua anak mereka, Nur Firuza Amira; 8, dan Nur Firuza Aqila; 4, bergelar anak yatim piatu.

Malangnya, dikhabarkan insan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan menguruskan 2 anak kecil ini khianat darah dagingnya sendiri. Sejumlah RM 300,000 sumbangan orang ramai kepada 2 anak kecil itu hanya RM 12,000 sahaja yang diterima oleh mereka.

Menjadi pertikaian hari ini ialah bila mana kakak kedua Allahyarham Fairuz, Yusnida Husain; 48, telah mengadakan sesi sidang media mendakwa adik bongsunya, Muhammad Faizznur Asyraf Husain ‘pecah amanah’.

Ini kerana menurut Yusnida, Faizznur langsung tidak memberikan wang sumbangan orang ramai terhadap dua beradik itu sebaliknya mendakwa wang itu merupakan miliknya memandangkan ia dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Faizznur yang sebelum ini mewar-warkan kepada pihak media bahawa dia bakal menjaga kedua-dua anak buahnya itu langsung tidak menjaga mereka sebaliknya hal itu diserahkan bulat-bulat kepada Yusnida sekeluarga.

“Sumbangan mula diberi kepada saya tahun lepas, 22 Jun 2015, itupun setelah saya buat laporan polis, adik bongsu saya baru serahkan RM12,000 (wang derma sumbangan orang ramai).

“Pada mulanya, perbincangan adik yang nombor tiga dan yang bongsu yang akan jaga anak-anak ini sebab isteri adik nombor tiga adalah sepupu kepada arwah ibu (Nova Safitri) kepada dua-dua anak ini,” jelas Yusnida.

Menurut Yusnida, Faizzur memberikan alasan wang sumbangan tersebut merupakan hak miliknya memandangkan ia dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

“Alasan dia (Faizznur), merujuk kepada Mufti Wilayah katanya, duit yang diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka sebab ada dalam akaun atas nama mereka sendiri, bukan untuk budak-budak ini,” ulasnya lagi.

Yusnida menjaga kedua beradik itu seminggu selepas kematian kedua ibu bapa mereka sehingga sekarang.

Menurut Yusnida, tujuan sidang media diadakan adalah untuk menuntut hak bagi kedua-dua anak yatim piatu tersebut yang dinafikan hak mereka oleh bapa saudara sendiri.

Selain itu, Yusnida turut membuat pendedahan bahawa ahli keluarga arwah Nova Safitri turut melakukan penipuan demi menuntut wang insurans arwah Fairuz Nizam.

“Keluarga sebelah ibu (Nova Safitri) telah membuat satu penipuan mengatakan mereka telah menjaga anak-anak ini, pergi keluarkan duit insurans bapa mereka (Fairuz Nizam) bernilai RM50,000. Seringit tidak dihantar untuk anak-anak ini.

“Orang lain semua ambil kesempatan, tak pernah jaga anak ni pun,” luah Yusnida lagi yang ternyata kesal dengan perkara tersebut.

Sehubungan kes itu, Yusnida telah membuat laporan polis dan kes itu sedang disiasat oleh pihak Bank Negara.

Susulan viralnya kes itu, Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu itu.

KENYATAAN RASMI ISU ANAK MANGSA KEMALANGAN DUKE

1. Kami menerima laporan di media-media sosial berkenaan luahan kekecewaan Puan Yusnidah Hussain, kakak kepada almarhum Fairuz Nizam, yang menjelaskan bahawa dua anak saudaranya iaitu anak kepada adiknya, hanya mendapat RM12,000 berbanding sumbangan orang ramai yang terkumpul kira-kira RM300,000.

2. Jumlah wang kira-kira RM300,000 itu dilaporkan dimasukkan ke dalam akaun adik-adik kepada Puan Yusnidah Hussain. Pada sidang media baru-baru ini, Puan Yusnidah Hussain memaklumkan bahawa wang tersebut tidak sampai ke tangan anak-anak yatim ini untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian.

3. Antara alasan yang dinyatakan oleh adik-adik kepada Puan Yusnidah Hussain adalah mereka telah merujuk kami, selaku Mufti Wilayah Persekutuan dan dikatakan bahawa kami menyatakan yang duit yang diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka kerana ianya adalah akaun atas nama mereka sendiri, bukan anak-anak ini. [Rujukhttp://www.mynewshub.cc/…/adik-bongsu-mangsa-nahas-duke-di…/]

4. Sebenarnya, memang kami ada menziarah keluarga ini sebagai tanda simpati beberapa hari selepas tragedi berkenaan. [Rujukhttps://goo.gl/QOUO3O]. Ada yang bertanyakan kepada kami tentang keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai untuk keperluan (maslahah) anak-anak yatim itu sendiri.

5. Kami dengan tegas menyatakan bahawa bapa saudara atau ibu saudara HANYA SEBAGAI PEMEGANG AMANAH (TRUSTEE/MUTAWALLI) di mana hak pengurusan (tasarruf) wang berkenaan adalah TERTAKLUK KEPADA KEPERLUAN (MASLAHAH) DAN SUMBANGAN/SEDEKAH kepada kedua anak yatim berkenaan, dan diuruskan dengan penuh KEJUJURAN dan rasa TANGGUNGJAWAB. Itulah yang kami maksudkan kepada pihak yang bertanya. Bukannya wang itu sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya.

6. Justeru, kami akan menjelaskan hal ini dengan lebih lanjut dalam Bayan Linnas, insyaAllah dalam masa terdekat. Buat masa sekarang, lebih baik kita semua menunggu keputusan daripada pihak berwajib. Wallahua’lam.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
PRchecker.info