Tiga hari menjelang perasmian Sukan Olimpik 2012 London, kem basikal trek negara dikejutkan dengan kemalangan di atas trek yang dialami oleh jaguh keirin, Azizulhasni Awang di Koln, Jerman semalam.
Azizulhasni, antara prospek pingat pada Sukan Olimpik kali ini melalui detik cemas mengalami kemalangan yang hampir serupa ketika kaki kirinya tertusuk serpihan trek di Manchester Februari 2011.
Namun ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley pantas menjelaskan kecederaan semalam tidak seteruk tahun lalu.
Akibat kemalangan tersebut, pelumba yang mendapat jolokan The Pocketrocketman itu cedera paha, lengan dan bahu kanan. Selain calar, beberapa serpihan kecil trek tercucuk di bahagian yang cedera, setelah dia terjatuh ketika menyertai pra perlumbaan acara pecut.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kecederaan Azizulhasni, Beasley berkata, secara amnya, tiada apa yang harus dibimbangkan mengenai anak didiknya itu.
“Kulitnya terkoyak pada bahagian kecederaan lazim yang dialami pelumba iaitu pada lengan, bahu dan paha,” kata Beasley dalam kenyataan di akaun laman sosial Facebook semalam.
Comments
Powered by Facebook Comments

