Bahaya Makan Biskut Berasap, Ini Jawapan Dari KKM

Biskut BerasapBahaya Makan Biskut Berasap, Ini Jawapan Dari KKM

Biskut Berasap. Peredaran zaman menyebabkan trend pemakanan manusia juga berubah. Budaya “hipster” dalam makanan dan minuman turut hadir sejak kebelakangan ini.

Tidak hairanlah jika hadir pelbagai jenis atau trend makanan baru dihasilkan kini. Terbaru, satu makanan yang boleh dikategorikan sebagai “hipster” menjadi trending.

Makanan yang dimaksudkan adalah makanan berasap. Kini di Malaysia hadir dengan biskut berasap yang dikatakan mengandungi cecair nitrogen.

Persoalannya bahayakah cecair nitrogen ini digunakan di dalam makanan? Mari kita baca penjelasan panjang lebar dari Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) ini. Semoga dapat menjelaskan segala kekusutan yang bermain di fikiran kita semua.

Kenyataan Akhbar KPK 19 Disember 2016 – Isu Penggunaan Cecair Nitrogen Dalam Makanan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar New Straits Times online bertarikh 18 Disember 2016 bertajuk “Beware of the Dragon Breath cookie: Nitrogen liquid used not suitable for consumption, it burns too” dan akhbar Harian Metro pada 19 Disember 2016 bertajuk “Biskut asap beracun“. Perkara ini juga telah dilaporkan di laman sesawang Astro Awani pada 19 Disember 2016. Ia berhubung aduan mengenai penggunaan cecair nitrogen dalam makanan yang telah menyebabkan kecederaan pada tangan salah seorang pengguna.

Cecair nitrogen adalah merupakan gas nitrogen tidak berbahaya yang telah disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196°C) sehingga ia menjadi cecair. Cecair nitrogen digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan dalam pembuatan ais krim. Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta (flash freezing) makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus (fog like texture) di mana ia menghasilkan novelty kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan.

KKM ingin menegaskan bahawa cecair nitrogen harus digunakan pada tahap yang bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk. Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal di dalam produk makanan siap. Oleh itu isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul.

Bagi tujuan keselamatan pengguna, pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan yang dihasilkan perlu memastikan cecair nitrogen dalam produk makanan tersebut telah meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna untuk mengelakkan melecur (cryogenic burn) atau radang dingin (frostbite). KKM berharap penyedia makanan dan pengguna mengambil perhatian ke atas perkara ini.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

19 DISEMBER 2016

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Comments
  1. ira |

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
PRchecker.info