Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua yang sudi meluangkan masa membaca nukilan di blog ini.

Perkongsian kali ini adalah mengenai ‘GIVE UP’!

GIVE UP. Satu lafaz yang seringkali terpancul apabila tahap kegigihan dalam membuat sesuatu kerja semakin menurun dan akhirnya berada di paras O. Namun, adakah sikap berputus asa itu mencerminkan peribadi seorang muslim yang dikasihi olehNya? Semestinya tidak!

Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah Az Zumar ayat 53 yang membawa maksud :

“Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Ayat di atas jelas menerangkan bahawa larangan bagi seorang hamba Allah itu untuk berputus asa dari rahmat Allah. Kadang-kadang hidup tidak seperti apa yang kita mahukan. Roda kehidupan yang sentiasa berputar menjadikan diri kita tidak selalunya berada di atas. Lupakah kita bahawa Allah itu Maha Adil? Jadi, tiada salahnya andai diri kita jatuh dan rebah dari kedudukan kita sekarang. Salahnya apabila kita tidak bangun kembali setelah terjatuh. Walhal, inilah yang dikatakan berputus asa dari rahmat Allah. Insan yang terang-terangan mengangkat bendera putih dan menjadikan kegagalan itu satu pengakhiran adalah insan yang kalah. Jadi, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah sekiranya hidup tak seperti apa yang kita rencanakan. Kita sentiasa merancang. Allah juga merancang. Dan perancangan Allah itulah yang paling baik.

Apa yang menyedihkan, terdapat juga Muslim di luar sana yang semakin menjauh dari landasan agama. Alasannya kerana Allah tidak memakbulkan doa-doa mereka.

Mungkin kalian sudah terbiasa dengan ayat ini :

Jika Allah memakbulkan doa kamu
DIA sebenarnya ingin menambah keyakinan kamu padaNya

Jika DIA lambat memakbulkan doa kamu
DIA sebenarnya ingin menguji kesabaran kamu

Jika DIA tidak memakbulkan doa kamu
DIA sebenarnya ada sesuatu yang lebih baik untuk kamu

Bersangka baiklah dengan Allah

Jadi, kenapa masih mahu berputus asa? Kenapa masih mahu membuat perbandingan dengan mereka yang tidak beragama Islam? Bill Gates contohnya, tersenarai di dalam jutawan dunia walaupun dirinya bukan beragama Islam. Tidak berdoa siang malam pun dianugerahkan kekayaan. Tapi kita? Solat 5 waktu terjaga dan sentiasa di awal waktu pun masih berada di takuk yang lama. Sewa rumah sentiasa tertunggak. Bonus tiap-tiap bulan pun kira cukup-cukup makan sahaja.

Persoalannya, kekayaan itu boleh menjamin kita ke syurgaNya kah? Wallahu’alam. Sentiasa tanam dalam hati kita bahawa yang bernilai itu Iman. Yang berharga itu Iman. Yang menjamin ke syurga itu adalah rahmat Allah. Jadi, perlukah kita berputus asa?

Sebetulnya, kita perlu sandarkan semuanya kepada Allah. Rahmat Allah itu meliputi langit dan bumi. Menjangkaui alam ini. Kegagalan bukan penyebab untuk kita berputus asa. Bahkan, kegagalan itu memerlukan kita untuk lebih gigih berusaha. Agar, kita mengetahui betapa bernilainya erti sebuah kejayaan.

Oleh itu, jangan pernah berputus asa. Jadikan kegagalan hari ini sebagai permulaan kepada sebuah kejayaan. Gagal sekarang lebih baik daripada gagal di ‘sana’ nanti. Hapuskan kegagalan dalam diari seorang Mukmin!

Wallahu’alam.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments