Home / Info / Manusia Siluman

Manusia Siluman

Filem Waris Jari Hantu yang pernah ditayangkan di pawagam Malaysia menceritakan perihal Tok Wan yang merupakan manusia siluman yang boleh bertukar menjadi harimau.  Apabila Tok Wan merasakan dirinya sudah tua, Tok Wan mahu mencari waris dalam keturunannya untuk memelihara saka itu.  Tok Wan memelihara saka harimau ini untuk melindungi keluarga dan kampung halamannya.

 

Amalan memelihara saka memang biasa dilakukan di banyak daerah di Malaysia, Singapura, Indonesia dan kepulauan Melayu suatu masa dahulu.  Tujuan asalnya adalah untuk melindungi keselamatan keluarga dan kampung.  Ada juga yang memelihara saka untuk menjaga dusun dan ladang daripada dicerobohi pencuri.  Memelihara saka juga bertujuan untuk mengelakkan dan mematahkan perbuatan aniaya secara ilmu hitam.  Mungkin tujuan orang memelihara saka sekarang berbeza, samada masih untuk mempertahankan diri dan keluarga, atau untuk mendapat kuasa dan harta.

 

Di Indonesia, banyak cerita bahasa Jawa yang menggambarkan usaha memperolehi kekayaan melalui hubungan dengan alam ghaib.  Cerita-cerita tersebut beraneka ragam namun satu ciri yang jelas terlihat ialah watak-watak dalam cerita akan mengasingkan diri atau bertapa di sesebuah tempat keramat dengan tujuan untuk mengadakan hubungan dengan makhluk halus dari alam ghaib.  Hubungan ini diharap dapat menolong mereka lepas daripada beban kemiskinan atau kesengsaraan.  Paling menarik dalam cerita-cerita bahasa Jawa ini ialah susuk makhluk siluman digambarkan dapat berganti wujud, dari wujud manusia menjadi binatang dan sebaliknya.

 

Makhluk Siluman juga dikenali sebagai makhluk ghadungan dan daden-dadenan di wilayah Jawa.  Ada banyak cerita yang membabitkan babi siluman, buaya siluman, ular siluman, anjing siluman, kelawar siluman, kera siluman dan berbagai jenis lagi.  Binatang-binatang tersebut memang binatang-binatang yang terdapat di rantau ini dan banyak bilangannya.  Yang paling popular ialah yang disebut ‘blorong’, sejenis ular siluman.

 

Menurut seorang pengamat Belanda, G.W.J. Drewes, beliau menggambarkan blorong sebagai sejenis makhluk jahat yang tidak diketahui jantan atau betina dan tinggal di pesisiran selatan pulau Jawa.  Blorong dikatakan wujud seperti ikan, mirip dengan ‘puteri laut’ yang ekornya tertutup dengan sisik-sisik emas.  Ada yang mengatakan blorong berkepala manusia.

 

Dalam cerita-cerita bahasa Jawa itu, Blorong selalu mewujudkan dirinya sebagai wanita cantik tetapi berekor panjang seperti ular.  Blorong akan memperdayakan lelaki untuk berkahwin dengannya dengan berjanji bahawa lelaki itu akan mendapat kekayaan yang luarbiasa.  Namun ‘suami’ blorong tidak pernah bernyawa selepas malam pertama kerana ekor blorong itu akan melilit tubuh ‘suaminya’ sehingga mati sebelum fajar menyinsing.  Esoknya, seluruh rumah mangsa akan dipenuhi emas dan wang tetapi mayat lelaki itu ghaib.  Dikatakan, Rumah blorong diperbuat daripada sisa-sisa mayat mangsanya dan tulang-belulang mangsa menjadi pagar, bumbung dan tembok rumahnya.

 

Di Desa Ludoyo, Blitar Surabaya, masyarakatnya masih mengamalkan sehingga kini, suatu pesta untuk mengelakkan harimau siluman.  Setiap tahun, masyarakat kampung akan bersiap sedia selama sebulan untuk meraikan Hari Surah.  Dua hari sebelum hari Surah, akan diadakan pesta seperti wayang kulit, Kuda Lompeng dan sebagainya.

 

Pada Hari Surah, ‘orang-orang pandai’ bersama ketua kampung akan memandikan barang-barang seperti keris, gamelan dan gong.  Seluruh penduduk desa akan meraikan Hari Surah ini kerana mereka percaya kecelakaan akan menimpa mereka sekiranya mereka tidak hadir meraikannya.

 

Pada saat gong hendak dimandikan, penduduk akan berkumpul beramai-ramai di bawah gong itu untuk mendapat rahmat.  Dipercayai, air daripada mandian gong itu akan membuat mereka awet muda.  Menurut penduduk Desa Ludoyo, sekiranya gong tidak dimandikan pada Hari Surah, Gong akan bertukar menjadi Harimau Siluman Putih.  Sekiranya itu berlaku, kampung mereka akan mendapat musibah seperti banjir, kemarau, gempa dan sebagainya.

 

Saka didapatkan dengan dua cara iaitu secara sengaja dan tak sengaja.  Secara sengaja bermaksud orang itu sengaja menuntut dengan guru atau pergi bertapa untuk menyeru saka menjadi pendampingnya.  Secara tak sengaja pula, seseorang mendapat saka melalui warisnya atau diberi objek berupa azimat, geliga, barang dan sebagainya.  Secara khusus, saka dikelaskan sebagai makhluk halus seperti golongan jin dan syaitan.

 

Dipercayai, manusia yang mengamalkan sesuatu ilmu tertentu boleh bertukar menjadi siluman.  Contohnya ilmu saka harimau, pengamalnya boleh bertukar menjadi harimau.  Jika ini berlaku, bermaksud pengamal itu sudah tinggi ilmu magisnya.  Dewasa ini, ada pengamal yang menggunakan ilmunya untuk tujuan baik tetapi ramai juga yang mengamalkan tujuan yang tidak baik.

 

Penulis sendiri amat berminat membaca novel-novel bersiri ‘Bercakap Dengan Jin” karya Tamar Jalis.  Dalam novel itu, yang dipercayai sebilangan pembaca sebagai benar-benar berlaku, Atuk mempunyai harimau siluman putih peliharaan.  Atuk merupakan seorang yang warak dan tinggi ilmunya.  Tujuannya sentiasa baik, iaitu untuk menolong orang, dengan izin Tuhan.

 

Selalunya, berlaku perjanjian antara orang itu dengan makhluk halus.  Perjanjian itu subjektif tetapi yang lazimnya, perjanjian itu akan membuat orang itu kaya dan berkuasa tetapi perlu mengorbankan sesuatu.  Sebagai contoh, orang itu berjanji akan menyerahkan seluruh jiwa dan raganya pada makhluk halus itu ketika mati.  Ada juga yang sanggup menjadikan anak-anak dan isteri sebagai korban satu persatu.  Ada juga yang memberi ‘makan’ saka peliharaannya dengan darah setiap malam tertentu.  Ada juga yang berjanji tidak akan berpisah dengan saka itu walaupun kelak meninggal dunia dan keturunannya akan menjadi waris.  Hakikatnya, segala perjanjian itu akan menyusahkan manusia dan menyesatkan akidah.

 

Pengamal ilmu-ilmu ini biasanya sukar untuk menghembuskan nafas terakhir kerana ‘perjanjian’ yang telah dilakukan.  Sebolehnya, mereka terpaksa menurunkan saka atau ilmunya kepada waris tertentu dalam keluarga.  Ada waris yang sanggup menerima tetapi ada juga yang tidak mahu menerima tetapi terus diganggu oleh saka itu.

 

Ada beberapa kejadian, seseorang yang tidak memahami kata-kata seorang pengamal ilmu saka yang sedang nazak tetapi melayan kata-kata si nazak dengan menjawab, ‘ya’ atau ‘nak’.  Masalah akan berlaku kerana jawapan itu sudah menjadi satu perjanjian untuk menjadi waris saka itu.

 

Di Singapura, ramai yang tidak sedar bahawa amalan memelihara saka masih wujud.  Masalah selalu berlaku apabila pengamal saka sukar mencari waris atau keluarganya sering diganggu.  Sebaiknya, mereka yang sering diganggu mendapatkan bantuan pakar agama untuk rawatan secara Islam dan tidak pula berubat dengan dukun-dukun lain.  Masyarakat perlu sedar, cara menangani masalah ini hanya dengan bertawakal kepada Tuhan.

 

Kesimpulannya, pemelihara saka dan manusia siluman berdamping dengan makhluk halus untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu.  Selagi ada permintaan dan hasad dengki untuk menganiaya orang, selagi itu wujud insan-insan yang mengamalkan sihir dan ilmu hitam.  Kita perlu mengelakkan diri daripada berdamping dengan jin dan syaitan kerana sebarang perjanjian yang dibuat, akan dituntut sampai mati.  Sesungguhnya itulah janji iblis dan syaitan – untuk menyesatkan umat manusia.

About Mat Selipar

Saya merupakan seorang insan biasa tetapi ingin menjadi luar biasa. Saya suka berkongsi cerita dengan anda semua... :). Untuk sebarang pertanyaan,permintaan atau komen bolehlah emelkan kepada saya di [email protected]

2 comments

  1. lebih baik percaya adanya tuhan miskin atau pun kaya itu tidak penting yg pentingnya kita berusaha,, jgn duduk diam saja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge

Close