
Sauh yang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Fatharullah menunjukkan surat yang dihantar kepada jabatan berkaitan bagi mengendalikan penemuan kapal karam tersebut
SEREMBAN – Seorang penyelam bebas yang menjumpai sebuah kapal karam dipercayai berusia 122 tahun kecewa apabila usaha yang dibuat selama ini dianggap tidak dihargai kerajaan Malaysia.
Fatharullah Amin Abd Wahab, 39, berkata, minatnya untuk mengkaji dan mencari khazanah bawah air itu membuahkan hasil apabila berjaya menemui sebuah kapal selam dipercayai milik British pada September 2010 lalu.
Katanya, ketika dia bersama adiknya, Ghairullah Amin, 38, menyelam di Permatang Semarang, Pulau Labuan, Sabah, mereka telah menemui sebuah kapal karam lama di dasar laut tersebut.
Menurutnya, setelah diselidik dan dirujuk kepada pakar arkeologi bawah air, ternyata bangkai kapal karam itu adalah yang terbesar pernah dijumpai di perairan negara dan mempunyai nilai artifak yang sangat penting.
“Sebaik sahaja kami menjumpai kapal karam ini, saya merujuknya kepada Perbadanan Labuan untuk diambil tindakan kerana lokasi tapak penemuan hanya 35 batu nautika dari pesisir pantai Pulau Labuan.
“Bukan itu sahaja, perkara ini juga telah diberitahu kepada Jabatan Warisan Negara, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Unesco Malaysia, namun sehingga kini masih tiada tanda yang menunjukkan bahawa pihak tersebut mahu membawa kapal berkenaan ke darat,” katanya.
Fatharullah Amin berkata, sehinggalah pada 6 April lalu, dia bersama krew kembali menyelam ke tapak tersebut dan mendapati sauh kapal jenis ‘Trotman’ bersama sebahagian rantainya hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.
“Saya sangat kecewa dengan kejadian ini kerana sejak penemuan kapal karam berkenaan, tiada pihak daripada jabatan kerajaan yang sudi membawa naik kapal, bahkan membiarkan sahaja elemen penting kapal karam ini dicuri.
“Sauh adalah bahagian paling penting dan mempunyai nilai tersendiri kerana melaluinya pakar boleh mengkaji bagaimana kapal tersebut boleh karam,” katanya.
Katanya, mengikut rekod, kapal yang dibina syarikat Harland & Wollf Ltd itu adalah kapal kargo yang ketika itu membawa barangan dari Manila menuju ke Perancis, namun karam di tengah laut di Semarang Labuan.
“Bagaimana kejadian berlaku belum dapat dipastikan sehinggalah pakar arkeologi negara kita selesai membuat kajian mengenainya,” katanya.
Menurutnya, kapal setinggi 120.3 meter itu dan dikenali SS Saint Pancras adalah terbesar yang pernah dijumpai di Malaysia.
“Penemuan kapal ini seolah-olah tidak bernilai, sedangkan ia adalah tinggalan sejarah paling berharga.
“Saya merayu kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat membantu memelihara penemuan ini agar ianya tidak terhenti begitu sahaja,” katanya.
Comments
Powered by Facebook Comments
