Memandangkan cuaca hari ini indah dipayungi awan berarak sambil dibuai angin yang sepoi-sepoi sahaja lagaknya, terdetik untuk menulis tentang persahabatan. Kenapa? Alasannya cuma kerana persahabatan itu indah. Iya, seindah hari ini.
Namun sahabat, persahabatan itu hanya akan indah sekiranya kita memilih orang yang betul untuk menjadi sahabat kita. Dalam masa yang sama, kita berusaha untuk menjadi sahabat yang terbaik untuk diri mereka. Akan tetapi, siapakah yang boleh tergolong dalam sahabat yang baik itu?
Saidina Umar al-Khattab pernah mengulas mengenai ciri-ciri seorang sahabat dalam madahnya yang bermaksud :
“Bertemanlah dengan orang-orang yang jujur, niscaya kamu akan hidup dalam perlindungan mereka. Mereka adalah perhiasan di kala senang dan bantuan di kala susah. Maknailah tindakan sahabatmu dengan makna terbaik hingga kamu benar-benar mengetahui sesuatu yang kamu benci darinya. Jauhilah musuhmu. Waspadalah pada temanmu kecuali temanmu yang jujur. Tetapi tidak akan jujur kecuali orang yang takut akan Allah. Jangan berteman dengan seorang penjahat karena kamu akan mempelajari kejahatannya dan jangan beritahukan rahasiamu kepadanya. Dan musyawarahkan masalahmu dengan orang-orang yang takut kepada Allah ta’ala.”
Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya. Antara wasiatnya ialah:
“Apabila tercetus di hatimu berkawan dengan seseorang, pastikan jika engkau berkhidmat dengannya, dia boleh mengawal dirimu.”
“Andainya kamu bersahabat dengannya dia boleh menghias dirimu, sekiranya pada suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu.”
“Bersahabatlah sekiranya kamu hulur satu kebaikan lalu orang itu pun berbuat demikian, apabila melihat kebaikan daripadamu lantas dikutipnya dan dihimpun kerana menghargainya.”
“Apabila melihat keburukanmu lantas ditutupnya, bersahabat rapatlah kamu kepada orang yang jika kamu meminta sesuatu (nasihat atau apa sahaja) lantas dia memberimu segera.”
“Apabila kamu berdiam diri tidak meminta sesuatu darinya, dia menunjukkan rasa resah gelisah. Sekiranya bala menimpamu, dia merasa simpati dan bertimbang rasa.”
“Bersahabatlah apabila kamu berkata sesuatu, dia mengiyakan sahaja. Sebarang perkara usaha sungguh-sungguh yang kamu hendak lakukan, dia segera memberi sokongan. Dia segera mengalah ketika berbalah denganmu.”
Jadi, adilkah sekiranya kita mendambakan seorang sahabat sejati, namun, diri kita sendiri jauh dari ciri-ciri seorang sahabat. Solehkanlah dirimu agar kamu dikelilingi orang-orang yang soleh. Ingatlah bahawa jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain. Sehingga itu, barulah terasa akan manisnya ukhuwwah.
Akhir kalam, mari kita sama-sama merenung sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” - Riwayat Al-Tabrani
Moga kita sama-sama dapat menjadi sahabat yang baik kepada seorang sahabat. InsyaAllah.
Wallahu’alam.
Comments
Powered by Facebook Comments

