Seringkali kita mendengar mengenai pembedahan pemindahan organ manusia seperti buah pinggang, hati, jantung dan sebagainya yang berkaitan dan boleh dipindahkan dari badan manusia ke badan manusia yang lain.
Sebagai rekod, pembedahan pemindahan jantung pertama berlaku di selatan Afrika pada tahun 1967. Pada tahun 1963 pula berlaku pemindahan paru-paru pertama di Amerika Syarikat.
Pembedahan organ manusia tidak mustahil dan boleh dilakukan. Tetapi pernahkah anda mendengar kisah pembedahan pemindahan kepala manusia? Ianya seperti tidak logik dan tidak pernah dibuat orang.
Tidak ada seorang pun yang pernah melakukan pembedahan pemindahan kepala di atas muka bumi ini. Namun, terbaru seorang doktor kontroversi dari Itali mahu melakukan pembedahan pemindahan kepala pertama di dunia.
Pakar bedah saraf kontroversi Itali, Dr Sergio Canavero, sebelum ini telah mengumumkan seorang pesakit China akan menjadi orang pertama menjalani pembedahan pemindahan kepala pada Disember 2017 jika beliau menerima sumbangan mencukupi dan kelulusan berbuat demikian.
Canavero berkata, teknologi dan pasukan untuk melakukan pembedahan itu sudah bersedia, bermakna cuma dana dan kebenaran etika kekal sebagai penghalang prosedur yang berkemungkinan mencatat sejarah berkenaan.
Beliau juga optimis menyatakan pesakit boleh berjalan semula dalam tempoh setahun selepas pembedahan itu.
“Kami mencari tarikh sekitar Krismas 2017 untuk melakukan pembedahan itu di China. Pasukan China sudah pun melakukan uji kaji ke atas mayat manusia untuk menajamkan teknologi,” kata Dr Canavero.
Katanya, pesakit pertama beliau ialah rakyat China walaupun sebelum ini saintis teknologi Russia, Valery Spiridonov, yang menderita gangguan otot disebut-sebut akan menjadi orang pertama berbuat demikian.
Dr Canavero berkata, Spiridonov tidak boleh menerima tubuh penderma di China disebabkan masalah biologi dan alasan etika.
Pembedahan terbabit berisiko tinggi tetapi Canavero percaya kejayaan prosedur itu bergantung kepada menyejukkan penderma dan penerima di bawah 12 darjah Celsius bagi memastikan sel tidak mati akibat kekurangan oksigen ketika ia dilakukan.
“Ini akan memberikan masa mencukupi untuk memotong tisu sekitar leher dan menghubungkan ia dengan saluran darah utama menerusi tiub kecil,” katanya.
Sebaik kepala disambung, pesakit akan dibiarkan koma beberapa minggu untuk mengehadkan pergerakan leher yang baru disambung, manakala elektrod merangsang tulang belakang untuk menguatkan hubungan barunya.
Ada yang menyatakan bahawa kemajuan teknologi ini bakal menyumbang kepada kebaikan manusia sejagat, namun sesetengah kumpulan menentang pembedahan ini menyatakan bahawa pembedahan ini adalah cubaan manusia melawan kuasa Tuhan. Apapun, kita cuma boleh tahu selepas pembedahan ini berjaya dilaksanakan.
Video di bawah ini menerangkan bagaimana prosedur pemindahan kepala yang akan dilakukan oleh Dr Sergio Canavero nanti.
Adakah anda merasakan pembedahan pemindahan kepala manusia ini logik dan 100% berjaya? Sama-sama kita lihat hasilnya nanti jika ia benar-benar berjaya dilaksanakan pada akhir tahun ini.