Baru-baru ini tular satu video mengenai seorang usahawan yang berkata-kata sesuatu yang membuatkan ramai orang kurang senang.
“Itu sebab you (kamu) tak ada duit. Bila you ada duit, semuanya (barang) menjadi murah,”
Itulah ungkapan seorang usahawan dalam sebuah video yang tular di TikTok hari ini, yang mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat.
Usahawan dari sebuah syarikat jualan langsung itu menyampaikan kata-kata tersebut ketika diminta memberi motivasi kepada rakan usahawannya.
Menurut beliau, barangan yang mahal bukan berpunca daripada keadaan ekonomi, tetapi disebabkan oleh kemampuan individu itu sendiri untuk membeli barangan tersebut.
“Barang kelihatan mahal kerana anda tidak mempunyai duit. Jika anda ada duit, semua barang jadi murah. Tiada barang yang dianggap mahal. Jika anda rasa mahal, itu kerana anda tidak mempunyai duit.
“Jika anda ada duit, anda rasa barangan itu murah. RM1,000? Murah. RM10,000? Murah. RM100,000? Murah. RM1 juta? Murah! Kenapa? Sebab anda ada? RM100 juta dalam simpanan.
“Keluarkan sedikit duit, semuanya selesai,” katanya kepada seorang usahawan lain.
Video tersebut menerima pelbagai reaksi dari masyarakat yang mengkritik kata-kata beliau kerana dianggap tidak sensitif terhadap golongan yang kurang berkemampuan.
“Orang kaya tidak memahami kesusahan orang miskin. Hanya orang kaya yang boleh bercakap begitu. Esok lusa kalau dia miskin, tahulah dia,” kata Bam.
“Ketika dia ada duit, bolehlah cakap begitu. Rezeki setiap orang tidak sama. Kalau anda mempunyai rezeki lebih dan tiada masalah membeli barang, itu tidak mengapa. Tetapi jangan sombong,” kata Sarahwahida.
“Kalau sudah berusaha tetapi rezeki belum sampai, nak buat macam mana. Mereka tidak memahami konsep rezeki,” komen seorang pengguna lain.
Namun begitu, ada juga yang bersetuju dengan pandangan usahawan tersebut yang dianggap mampu memberi motivasi kepada individu yang berputus asa untuk mencari rezeki.
“Saya setuju dengan apa yang dia katakan. Jika ada duit, semua barang boleh dibeli. Jika tiada duit, semua barang jadi mahal. Jadi, berusahalah untuk mencari duit lebih,” komen Asanah.
“Secara relatifnya, betul. Barang mahal, gaji rendah atau tidak naik. Betul apa yang dia katakan. Dia tidak menghina sesiapa pun. Dia tidak cakap pun anda malas cari duit,” komen Redzuan.
“Hanya orang yang berfikiran kaya sahaja yang memahami maksud yang cuba disampaikan. Orang yang berfikiran miskin akan selalu memberikan alasan,” kata Aizat.

Usahawan Memohon Maaf
Ekoran video tular itu, usahawan jualan langsung, Chua Tee Khoon memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengambil dan memahami kata-kata itu dari sudut negatif.
“Saya akui bahasa yang saya gunakan agak kasar, tetapi itu untuk menaikkan semangat leader (ketua pasukan) serta ejen-ejen saya untuk terus berusaha mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi”.
Sebelum ini ramai yang mengecam Chua Tee Khoon mengenai petikan video tular ‘barang mahal sebab kamu tiada duit’. Diharap dengan permohonan maaf dari usahawan ini, dapat menutup kes mengenai video yang tular tersebut.