Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah telah selesai dengan jayanya semalam, 30 Julai 2019.
Istiadat pertabalan berlangsung semalam (30 Julai 2019) menyaksikan Sultan Abdullah, dalam lafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, bertekad melaksanakan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara selain memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.
Perkara Pelik Yang Berlaku di Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-16
Bagi yang menonton siaran secara langsung istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong mungkin tidak ramai yang perasan ada beberapa perkara pelik yang berlaku sepanjang majlis berlangsung.
Persalinan Diraja Ditenun Penghuni Penjara
Ketibaan Al-Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.
Persalinan Diraja bukan diterbangkan dari Milan ataupun New York. Ianya ditenun dengan penuh kasih sayang oleh penghuni Penjara Penor di Pahang.
Kata seorang banduan, Tuanku Permaisuri Agong menganggap mereka sebagai kawan.
Tuanku sendiri yang merekabentuk serta “sketch design”, mengajar dan menyelia pembuatan songket dari penjara tersebut yang kemudiannya apabila siap, diserahkan kepada Datuk Rizalman pula untuk proses seterusnya.
Dihadiri Putera Mahkota Abu Dhabi dan Sultan Brunei Darussalam
Istiadat Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI diserikan lagi dengan Kehadiran KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzadin Waddaulah Ibni Al Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddin Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Mulia Sheikh Mohammed Bin Zayed Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Utama Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu.
Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet, selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Watak Penting Kelancaran Istiadat Pertabalan Yang DiPertuan Agong ke 16
Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy bin Zairakithnaini, adalah watak penting dalam kelancaran istiadat Pertabalan Yang DiPertuan Agong ke 16.
Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan.
Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.
Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.
Hari Keputeraan Ke-60 Yang DiPertuan Agong
Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara juga membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu yang istimewanya juga jatuh pada hari keputeraan Seri Paduka yang ke-60.
Naskah al-Quran Sebagai Lambang
Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.
Yang Dipertuan Agong Berpegangan Tangan Dengan Permaisuri Agong
Tuanku Permaisuri Agong dilihat berpegangan tangan dengan Yang Dipertuan Agong ketika berjalan.
Bekas Perdana Menteri Tidak Hadir
Dato’ Seri Najib tidak dapat hadir ke majlis istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.
Pada saat-saat akhir, tempat duduk Dato’ Seri Najib telah diubah ke barisan belakang.
Kedudukan yang baru ini memerlukan Dato’ Seri Najib menukar pakaian kepada pakaian Datuk Shahbandar Pahang mengikut protokol, yang mana pada saat-saat akhir adalah tidak munasabah untuk menyempatkan beliau hadir ke Istana Negara pada masa yang ditetapkan.
Fakta Menarik Mengenai Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah
Sebelum ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang ke-16 lagi, baginda dan Raja Permaisuri Agong sememangnya terkenal sebagai raja berjiwa rakyat yang amat disayangi oleh rakyat jelata lebih-lebih lagi dalam kalangan penduduk negeri Pahang. Berikut kami sertakan beberapa fakta menarik mengenai baginda.
1. Baginda diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal, Pekan
Baginda ialah paduka anakanda keempat kepada Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Afzan, diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang.
2. Baginda dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang ketika berusia 16 tahun
Upacara permasyhuran baginda sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dijalankan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan. Baginda kemudian dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 pada usia 20 tahun. Baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang bagi tempoh lima tahun ketika ayahanda baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke-7.
3. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara
Baginda berangkat ke United Kingdom pada usia 16 tahun untuk melanjutkan pelajaran di Aldenham School, Hertsfordshire sebelum melanjutkan pendidikan di Devies’ College, London dari tahun 1978 hingga 1979. Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England. Baginda telah ditauliahkan sendiri oleh Queen Elizabeth II dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalry Angkatan Tentera Darat Malaysia.
4. Al-Sultan Abdullah diijabkabulkan dengan Raja Permaisuri pada 6 Mac 1986
Upacara ijabkabul baginda berdua dijalankan di Istana Bukit Serene, kediaman rasmi Sultan Johor. Baginda berdua mengulang sejarah perkahwinan diraja Pahang-Johor yang ke-3 selepas pernikahan moyang Tengku Ampuan Pahang iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Johor dengan seorang puteri diraja Pahang dan Almarhum Sultan Mahmud Pahang dengan Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Abu Bakar Johor.
5. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri
Sebelum dikurniakan anak kandung, baginda berdua mengambil seorang anak angkat lelaki iaitu Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Sulta Abdullah. Untuk pengetahuan, Yang Mulia Tengku Amir Nasser merupakan merupakan anakanda bongsu kepada Tengku Arif Bendahara Ibrahim dan isteri ketiga, Zarina binti Abdullah. Bersama Raja Permaisur Agong, baginda dikurniakan enam orang cahaya mata namun anak sulung baginda berdua, Yang Mulia Tengku Ahmad Iskandar Shah, mangkat pada hari yang sama diputerakan iaitu pada 24 Julai 1990. Ramai mengetahui bahawa baginda juga mempunyai anak hasil perkahwinan bersama Cik Puan Julia Rais.
Berikut merupakan senarai anakanda baginda berdua:
1. Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim
2. Yang Mulia Tengku Ahmad Iskandar Shah
3. Yang Mulia Tengku Puteri Iman Afzan
4. Yang Mulia Tengku Ilisha Ameera
5. Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
6. Yang Mulia Tengku Ilyana
7. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah
8. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah
9. Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah
10. Yang Mulia Tengku Jihan Azizah Athiyatullah
Daulat Tuanku! Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperkenan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-16.
Stafaband
terimakasih informasinya gan
Waptrick
Artikel yang sangat bagus dan bermanfaat
downloadlagu
baru tau saya
Stafaband
ho begitu ternyata