Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro 27 November 2017 yang lepas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengumumkan hampir setengah juta rakyat Malaysia disenaraihitamkan oleh pihaknya kerana tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Angka yang dikeluarkan itu sungguh mengejutkan. Betapa ramainya rakyat Malaysia yang tidak membayar pinjaman dari PTPTN.
Secara keseluruhanya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengumumkan seramai 790,186 warga Malaysia disenaraihitamkan oleh pihaknya.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 447, 890 disebabkan tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
107,884 pula kerana tidak membayar cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Musafar Ali
Tambahnya lagi, 138,028 pula diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi manakala 7,024 lagi tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Oleh hal yang demikian, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan nilai tambah Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam (Pre Read Kiosk) untuk membolehkan penumpang membuat semakan kelayakan sebelum ke luar negara bagi melancarkan perjalanan mereka.
“Semakan perlu dibuat sebelum daftar masuk bagi mengelak penangguhan masa berlepas penerbangan, jangan nanti apabila tiba di kaunter, ada sekatan ke luar negara.
“Buat masa ini, terdapat tiga kiosk di terminal utama KLIA dan kita sedang berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk buka kiosk sama di klia2 dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam di KLIA, Sepang, hari ini.
Selain menyemak senarai hitam, kiosk berkenaan juga boleh menguji beberapa perkhidmatan lain temasuk pasport dalam senarai suspek Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), LHDN, KWSP dan PTPTN.
Selain itu, katanya, pasport dibatalkan, tamat tempoh, dimiliki lebih daripada satu suspek, pasport dengan tempoh sah kurang enam bulan, hilang dan tidak dijumpai dalam sistem.
“Kami turut bercadang memperluaskan perkhidmatan itu di lapangan terbang antarabangsa lain.
“JIM bekerjasama baik dengan agensi berkaitan seperti MAHB dan Jawatankuasa Operasi Penerbangan (AOC) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di KLIA dan klia2,” katanya.
Diharap langkah yang diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ini dapat memudahkan urusan rakyat Malaysia untuk berangkat ke luar negara. Dengan adanya sistem ini rakyat Malaysia boleh mengetahui status nama mereka adakah disenaraihitamkan atau tidak oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dengan adanya Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam (Pre Read Kiosk) ini bukan sahaja memudahkan rakyat Malaysia untuk mengetahui status perjalanan mereka tetapi juga dapat melancarkan lagi perjalanan mereka.