Kisah Sedih “Ulat Buku” Ini Ditahan Miliki 12 Buku Berkaitan Militan
Padah membaca dan memiliki 12 buku berkaitan ideologi militan Islam, seorang gadis dari Dungun, Terengganu kini ditahan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1956 (POCA).
Siti Noor Aishah Atam ditangkap semula selepas beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini. Tindakan itu susulan rayuan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada September tahun lalu kerana memiliki 12 buah buku.
Siti Noor Aishah, 29, pertama kali ditahan pada Mac tahun lalu, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan kumpulan pengganas.
Pada bulan berikutnya, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan, selepas kes itu dibicarakan.
Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar sarjana Usuluddin, Universiti Malaya, berkata beliau menggunakan buku-buku berkenaan untuk penyelidikan ijazah sarjananya.
Selepas dia ditangkap pada Mac tahun lalu, Universiti Malaya memecatnya, kerana gagal menghadiri kelas.
Pada bulan September tahun lalu Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Siti Noor Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.
Pada hari yang sama, beliau dibebaskan, Siti Noor Aishah ditangkap semula di bawah Poca dan ditahan selama 60 hari.
Sebaik dibebaskan daripada Poca, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang. Beliau juga tidak dibenarkan untuk meninggalkan daerah Sura di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.
“Kes berkenaan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dia membela diri, tetapi sebaliknya dia ditahan lagi.
Berikut adalah senarai buku didakwa dimiliki Aishah:
* Visi Politik Gerakan Jihad
Penulis: Hazim Al-Madani & Abu Mush’ab As-Suri
Penterjemah: Luqman Hakim
Penerbit: Jazera
* Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi, Apa Rencana Mereka Ke Depan
Penulis: Fuad Hussein
Penterjemah: Ahmad Syakrikin
Penerbit: Jazera
* Akankan Sejarah Terulang
Penulis: Dr.Muhammad Al-Abdah
Penterjemah: Abas Mansur Tamam
Penerbit: Jazera
* Deklarasi Daulah Islam Iraq
Penulis: Dewan Syariah Daulah Islam Iraq
Penterjemah: Abu Hafsh As-Sayyar & Abu Musa Ath-Thayyar
Penerbit: Islamika
* Merentas Jalan Jihad Fisabillah
Penulis: Shaikh Abdul Qadir Abdul Aziz
Penterjemah: Hassan As-Sayyari
Penerbit: Pustaka Al Alaq
* Misteri Pasukan Panji Hitam
Penulis: Muhammad Abu Fatiha Al-Adani
Penterjemah: H Muhammad Harun Zein
Penerbit: Jasmin Publication
* Turki Negara Dua Wajah
Penulis: Abdullah Azam
Penterjemah: Abdurrahman
Penerbit: Al Alaq
* Masterplan 2020: Strategi al-Qaeda Menjebak Amerika
Penulis: Fahmi Suwaidi
Penerbit: Jazera
* Dari Usama Kepada Para Aktivis
Penulis: Syaikh Usamah Bin Ladin dan Syaikh Yusuf Al Uyairi
Penterjemah: Umar Burhanuddin, Abu Hafs As Sayyar & Syahida Man
Penerbit: Kafayeh
* Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda
Penulis: Ayman Az-Zawahiri
Penterjemah: Umar Burhanuddin
Penerbit: Kafayeh
* Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru
Penulis: Abu Muhammad Ashim Al Maqdisiy
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat
* Seri Materi Tauhid for the Greatest Happiness
Penulis: Tiada dicatat
Penterjemah: Abu Sulaiman Aman Abdurrahman
Penerbit: Tiada dicatat
Siti Noor Aishah pelajar pintar. Menyambung ijazah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) walaupun dia sebenarnya menerima tawaran dari universiti lain.
Dia kemudian menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam jurusan usuluddin (akidah) di Universiti Malaya. Suka membaca, malah sewaktu berjumpa dengannya, kami sempat bertanya apa harapan jika dibebaskan kelak.
Jawab dia: “Saya harap minat saya untuk membaca tak dihalang”.
Aku sempat ke rumah mereka beberapa minggu lalu. Rumah itu cuma ada satu bilik, dan ia tak berpintu pun. Cuma ditutup dengan kain langsir.
Aishah tak pernah keluar dari kediaman itu sejak dikenakan sekatan rumah dan dipakaikan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) apabila dia ditahan kali kedua mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Sekatan itu dikenakan kepadanya selama dua tahun.
Kini Aishah ditahan di Penjara Kajang sehinggalah perbicaraannya selesai. Kalau menang sekali lagi pun, pendakwa raya boleh membuat rayuan sekali lagi, dan Aishah akan ditahan lagi. Inilah Sosma, inilah tahan tanpa bicara. lain.