Musim perayaan belum lagi tamat buat masa ini. Mungkin ramai yang merancang untuk membuat rumah terbuka atau open house sebelum Hari Raya Aildilfitri tamat.
Tujuan membuat rumah terbuka bukan sahaja untuk makan semata-mata namun bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara mara dan rakan taulan.
Tetapi lain pulak berlaku pada zaman sekarang bila adanya rumah terbuka. Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim meluahkan rasa pelik dengan sikap sebilangan ibu bapa yang bersikap lepas tangan apabila menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri dengan membiarkan anak-anak mereka `bikin taufan’ dalam kediaman tuan rumah.
Berkongsi pengalaman yang dialaminya sendiri dalam Instagram hari ini ketika rumahnya di Kampung Datuk Keramat didatangi tetamu pada hari pertama Aidilfitri 5 Jun lalu, Rizalman memberitahu, ada barang berharga miliknya rosak disebabkan gelagat anak-anak tetamunya yang berperilaku nakal amat.
“ Chek (saya) tidak kisah mampu beli balik, tapi Chek cuma nak berkongsi kepada ibu bapa tidak kiralah yang kaya atau sederhana atau kurang mampu supaya jagalah anak-anak semasa berkunjung ke rumah orang.
“ Ini bila pergi rumah orang, bagi anak minum sambil anak berjalan. Budak-budak meloncat-loncat, air berkocak atas karpet… macam `jemuan’ (nakal dalam loghat utara)…bagi anak kismis, jatuh…melekat kimis itu di lantai…semut pun datang.
“ Bukan chek nak cakap apa, jiran-jiran Chek di Keramat ini orang-orang biasa saja, tapi tertib bila datang ke rumah, siap angkat pinggan basuh di dapur.
” Mereka bukan dari Damansara pun. Ini yang (tetamu-tetamu) VIP bila datang kata (pada anak-anak mereka)…Daniel! please don’t touch that… mana anak nak dengar,” kata Rizalman.
Menurut Rizalman, setiap tahun kehadiran Aidilfitri, insiden yang sama pasti berulang, yang turut dikongsi oleh followers beliau dalam media sosial.
“ Pernah ada peristiwa pinggan terbelah dua (pecah), garfu masuk dalam tong sampah, kucing mati dibaling (kanak-kanak) ke dinding, rel langsir tercabut, panjat peti ais orang dan macam-macamlah,” katanya.
Sepatutnya, kata Rizalman lagi, nilai-nilai dan adab sopan anak-anak dibentuk ibu bapa sejak kecil di dalam rumah lagi.
“ Mak chek (bila kami adik beradik) nak pergi ke ke rumah orang siap pesan dari rumah dan dalam kereta lagi…nak pergi kena duk diam…kalau tengok mata aku (mak) besar (menjengilkan mata) kau siap.
“ Dia (mak) tak pukul bila (kami) balik ke rumah, tapi tarik kami ramai-ramai ke bilik air, berus kami dengan berus sabut sampai merah meleteq.
“ Itu cara nak ajar anak sebab itu kami tertib.”
Azrinaz Mazhar Hakim Turut Komen
Sementara itu, bekas pengacara televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim dalam Instagramnya turut menyokong saranan Rizalman supaya tetamu tidak membiarkan anak-anak mereka berkeliaran dalam majlis rumah terbuka tuan rumah.
Antara komen Azrinaz: “ @rizalman71 beletiaq pasai pasu dia pecah. Itu pasailah saya ni tak ajak keluarga yang ada anak kecik. Walaupun depa itu keluarga dekat ka, sepupu ka…tapi kalau anak dah tak boleh control, tak reti nak teguq, pasu kita pecah…rumah saya ni dahlah penuh kaca.
“ Depa tu bukan tau macam mana susah kita kumpul barang collection hangkut bawak balik dari oversea.
“ Bila pecah, mana nak dapat ganti? Depa dengan muka tak bersalah balik perut kenyang.
Itulah sedikit sebanyak leteran dan pesanan Datuk Rizalman dan Azrinaz Mazhar Hakim mengenai adab beraya di rumah terbuka.
Diharap supaya ibu bapa di luar sana ambil berat tentang hal ini dan sentiasa menjaga tingkah laku anak-anak ketika berada di rumah orang. Sesungguhnya didikan yang baik oleh ibu bapa mampu menjadikan anak-anak mereka disenangi oleh orang lain.