Bella Astillah, 23, yang merupakan isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, mendedahkan mengenai kecurangan suaminya dengan seorang pelakon wanita.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah menerusi akaun Instagramnya memuat naik paparan skrin perbualan antara dirinya dengan seorang peminat yang melihat aksi curang suaminya di sebuah kelab malam baru-baru ini.
Menerusi post Instagram terbaru Bella Astillah, dia berkongi perbualan bersama seorang individu mendakwa terserempak dengan Aliff Aziz. Identiti individu itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Bella ketika dihubungi berkata, dia sedang berbicara dengan ibu mentuanya mengenai perkara itu.
“Maaf, saya tak dapat jawab panggilan buat masa sekarang sebab sedang berbual dengan Umi (ibu) Aliff,” katanya kepada Harian Metro.
Menerusi perkongsian di Instagram, Bella meluahkan isi hatinya yang kecewa apabila peluang kedua diberikan sebelum ini, seolah-olah dipersiakan oleh penyanyi lagu Sayang Sayang itu.
“Sejak kes yang dulu, saya berikan peluang kepada dia sebab setiap manusia membuat kesilapan dan sebab saya pandang kepada anak.
“Tapi, apa yang saya lalui selama ini, kalian takkan dapat bayangkan,” tulisnya di Instagram.
Menurutnya, dia mengenal pasti kecurangan suaminya itu selepas Aliff selesai menjalani penggambaran telefilem.
“Selepas Aliff habis menjalani penggambaran telefilem baru-baru ini, dia buat hal lagi dengan heroin yang bekerja dengan dia dalam telefilem itu.
“Dua hari sebelum habis penggambaran, dia dah mula berkelakuan aneh contohnya menukar kata laluan telefon dan apabila saya paksa buka telefon, dia buka. Tapi, dia padam perbualan WhatsApp dengan pelakon wanita itu,” katanya.
Bella juga menjelaskan bahawa dia sendiri sudah bersemuka dengan suaminya dan pelakon wanita berkenaan berkaitan isu itu.
“Saya cakap dengan dia (Aliff), saya bukan budak-budak. Kalau tak ada apa-apa, kenapa perlu padam?.
“Saya nak kepastian, jadi saya hubungi pelakon wanita itu. Jawapan dia, ‘Ya Allah, Bella, tak ada apa-apa pun. Kenapa Aliff buat hal lagi ke?’,” tulisnya.
Menurutnya, pelakon itu juga ingin bertemu dengan Aliff dan mengingatkannya supaya mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Dia cakap, ‘Boleh tak bagi Via jumpa dia. Via nak cakap dengan dia, ‘back to Allah’. Rupanya, orang yang nasihat dan tenangkan saya ini, orang yang sama-sama pergi kelab dengan Aliff, menari-nari berpelukan dan mabuk bersama,” tulisnya.
Bella berkata, doanya termakbul kerana Allah memberi petunjuk kepadanya.
“Saya bila solat, minta Allah beri petunjuk mengenai rumah tangga. Tak sangka doa saya dijawab dengan begitu cepat. Sangat cepat.
“Terima kasih kepada insan yang menghantar mesej kepada saya. Kalau tak, saya takkan tahu apa-apa. Hanya saya dengan Ayden berada di rumah,” tulisnya.
Bella juga berpesan kepada suaminya supaya meneruskan dengan sikap buruknya sekiranya itu membuatkan dia rasa bahagia.
“Ingat, hiburan dunia hanya sementara. Kepada Aliff, kalau awak rasa bahagia dengan kehidupan macam tu, dan dah jumpa pasangan terbaik yang awak rasa serasi boleh pergi kelab sama-sama dan boleh jaga makan, minum, pakai awak, teruskan,” tulisnya.
Malahan, Bella juga mendakwa dia tidak bodoh untuk membuat kenyataan tanpa bukti yang kukuh. Tambahnya dia mempunyai 3 video bukti berhubung perkara itu.
Sebelum ini pada julai 2017 Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa berlaku curang dengan seorang pelakon wanita dan memukul isterinya di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras.
Bella dan Aliff berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun tujuh bulan.
Kisah rumah tangga mereka mula menjadi hangat apabila Bella Astillah mendedahkan paparan skrin perbualan antara dirinya dengan seorang peminat yang melihat aksi curang suaminya di sebuah kelab malam baru-baru ini.
Apa-apa pun kami mendoakan supaya segala masalah rumah tangga mereka berdua ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Ingat, Aliff dan Bella masih ada anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang ibu dan bapa.