Surat Terbuka Kepada Faizznur Ini Buat Mata Anda Berkaca
Rasanya semua rata-rata rakyat Malaysia sudah mengetahui mengenai isu “pecah amanah” seorang bapa saudara kepada anak mangsa kemalangan maut Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE).
Banyak artikel-artikel viral yang menempelak kepada bapa saudara kanak-kanak itu yang bernama Faizz Nur. Tidak ada satu pun artikel ditulis yang menyokong Faizz Nur.
Ini seakan-akan menguatkan lagi kepercayaan majoriti rakyat Malaysia yang memang benar berita mengenai pecah amanah itu.
Setakat ini Faizz Nur hanya bertindak menutup mulut dan mahu peguamnya yang menjelaskan semua kepada mahkamah.
Terbaru, satu surat terbuka yang ditujukan kepada Faizz Nur menjadi viral di media sosial.
Isi kandungan suratnya adalah seperti di bawah:
Surat Terbuka Kepada Faizznur
Assalamualaikum. Hai. Nama saya Amani, graduan UIA dalam bidang psikologi dan kini memegang jawatan sebagai seorang kaunselor di sebuah jabatan kerajaan. Saya juga merupakan seorang anak yatim piatu yang kematian ibu dan ayah ketika masih kecil.
Saya terbaca tentang keadaan 2 orang anak kecil yang “dimakan” haknya oleh bapa saudara sendiri. Mungkin ramai yang tidak tahu kesan dan akibat daripada perbuatan terkutuk ini terhadap golongan-golongan terpilih seperti kami.
Jadi, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya tulis surat ini untuk En.Faizznur agar dapat diteliti dan diamati dengan jiwa yang tenang.
Saya kematian ibu dan ayah pada usia 7 tahun dan kini usia saya 26 tahun. Mungkin nasib saya sedikit baik sebab saya sudah memahami apa itu kematian. Saya mempunyai dua orang abang. Abang saya kini ialah seorang pegawai bank dan seorang lagi pensyarah di UiTM.
Ketika ibu dan ayah meninggalkan kami, kami awalnya “dijaja” kononnya bapa saudara kami akan membela kami kerana dia mempunyai kerja yang bagus untuk menampung kami 3 beradik yatim piatu. Malangnya, jajaan cerita itu hanya satu bualan manis sang bapa saudara yang kami panggil Pak Ya.
Ya, Pak Ya seorang yang agak berada. Arwah ibu kami ialah kakak kandungnya. Bapa kami anak tunggal jadinya sebelah bapa kami tiada saudara mara. Jadi awalnya semua bersetuju untuk kami tinggal dengan Pak Ya. Lama juga kami tinggal dengan Pak Ya. Tapi zaman kami tak macam zaman anak yatim sekarang. Kami dulu walaupun tinggal dengan bapa saudara sendiri, kami dikerah untuk bekerja. Saya disuruh mengemas rumah setiap hari sebelum ke sekolah dan selepas pulang dari sekolah. Abang Long dan Abang Ngah saya diarah untuk tolong atok sedara di bendang. Kami tidak dibenarkan berkawan dengan kawan-kawan kampung sebab menurut Pak Ya, anak-anak kampung otaknya tidak bagus.
Selang 6 bulan sesudah itu, ibu saudara kami mendapat tahu kami diarah itu ini hinggakan pelajaran kami terabai. Yuran sekolah kami tidak dibayar. Buku-buku sekolah kami diminta untuk berkongsi. Pakaian sekolah kami disuruh pakai dari lebihan baju anak-anak Pak Ya.
Ibu saudara saya yang kami panggil Umi menangis melihatkan keadaan kami. Pada ketika itu, Umi baru berusia 30-an dan belum berkahwin. Umi adik bongsu ibu yang sangat sayangkan kami. Keadaan Umi dalam kejadian yang menimpa saya samalah juga sebagaimana ibu saudara mangsa DUKE yang sedih melihat nasib anak-anak saudara.
Umi membuat keputusan mengambil kami 3 beradik untuk dijaga. Pada ketika itu juga, Pak Ya tegas untuk tidak melepaskan kami. Tahu kerana apa? Kerana Pak Ya menerima wang sumbangan dari orang kampung dan kawasan kejiranan ini. Pak Ya bimbang andai Umi mengambil kami, tiada lagi sumbangan yang akan diterima.
Umi berkeras untuk melaporkan ke pihak berkuasa andai Pak Ya tidak mahu melepaskan kami. Maka selepas berbincang, kami tinggal dengan Umi. Pada ketika itu barulah kami merasa bahagia. Umi menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Umi mengajar kami apa-apa yang kami tidak faham di sekolah, Umi turut ajar kami kehidupan yang tidak bergantung pada orang lain. Ramai orang melamar umi tapi umi menolak dengan cara yang baik semata mata demi menjaga kami. Cerita Pak Ya pula, dia masih menerima sumbangan bahkan cerita tentang perihal kami adik beradik yatim piatu dicanangnya ke merata tempat. Hinggalah tabungan anak-anak yatim buat kami penuh diterimanya. Suatu hari, Umi ke rumah Pak Ya kerana Umi kekurangan duit untuk bayar yuran pengajian abang long. Umi minta Pak Ya apa yang menjadi hak kami. Tapi malangnya, Pak Ya enggan untuk memberi. Katanya, duit itu kepunyaannya kerana dia yang bersusah payah meminta pada orang ramai untuk menderma.
Saya ketika itu berusia 15 tahun mula sedih dengan sikap Pak Ya. Sedih kerana abang long saya akan menyambung pengajian tapi wang yang sepatutnya menjadi hak kami ditidakkan oleh bapa saudara sendiri. Umi berkeras meminta tapi malangnya umi dihalau keluar. Akhirnya kami pulang dengan tangan kosong. Ketika itu saya lihat Umi termenung panjang. Die berfikir cara terbaik untuk dapatkan duit bagi membayar yuran pengajian Abang Long. Abang Ngah pula bakal menduduki peperiksaan SPM dan saya PMR. Umi kelihatan tua dari usianya. Kerana umi letih mencari duit untuk menyara kami sedangkan Pak Ya senang lenang bermewah dengan duit kami.
Malam harinya, kami melihat umi menangis sementara menunggu waktu isya’. Jadinya abang long ajak kami 3 beradik untuk ceriakan umi. Caranya, kami solat jemaah bersama. Habis solat isya’, abang long berdoa dan hingga kini saya ingat doanya.
“Ya Allah, kami ini anak yatim piatu. Yang tiada siapa pedulikan kami melainkan ibu saudara kami. Dan kini ibu saudara kami ini sedang bersedih. Maka kami mohon pada-Mu wahai Tuhan, TARIKLAH NIKMAT KEMEWAHAN mereka-mereka yang menganiaya kami dan jadikanlah mereka manusia yang berada dalam kesedihan.”
Selesai doa ini, Umi lebih kuat menangis dan peluk abang long dan merayu agar menarik balik doa tersebut.
Tahu kerana apa? Kerana Umi takut abangnya terkena balasan atas penganiayaan yang dilakukan terhadap kami bertiga si yatim piatu.
Dan benarlah… Doa anak-anak yatim, doa fakir miskin, doa orang-orang yang dianiaya, tidak sesekali dibiarkan oleh Allah. Bahkan doa-doa golongan beginilah tiada hijab disisi Allah.
Selang beberapa tahun, Pak Ya ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah kerana mempunyai skandal rasuah. Atas kesalahan itu, seluruh harta Pak Ya disita dan semua wang simpanannya dibekukan. Pada masa yang sama, anaknya sakit teruk dan isterinya pula meninggal dunia. Pak Ya bagaikan orang gila apabila sering meracau dan apabila bertemu kami, Pak Ya bagaikan tidak keruan. Hidup Pak Ya sama sekali tidak seperti dulu.
Umi yang melihatkan kesedihan abangnya memohon pada abang long dan kami semua untuk memaafkan Pak Ya dan seluruh keluarganya yang telah berbuat jahat dengan mengambil hak-hak kami dan menidakkan hak kami. Hingga kini, Pak Ya hidup sebatang kara. Anak-anak lain mengabaikannya dan Pak Ya kini dihantar ke rumah orang tua. Umi masih bersama kami. Umi lah tempat kami bermadu kasih. Umi sanggup berkorban kebahagiaannya untuk tidak berumah tangga demi membesarkan kami. Dan setiap hari jugalah, Umi meminta kami agar memaafkan Pak Ya kerana kasihankan keadaan Pak Ya yang seteruk itu.
Namun bagi kami, melihat kesedihan Umi jauh lebih kami fikirkan berbanding kesedihan Pak Ya. Sehingga kini, kami 3 beradik belum mampu “menghalalkan” duit yang digunapakai oleh Pak Ya untuk kepentingannya dan keluarga. Bagi kami, biarlah Allah sahaja yang menentukan pengakhiran hidup Pak Ya.
Jadi nasihat saya pada En.Faizznur, beringatlah. Doa anak-anak yatim itu tiada hijabnya disisi Allah. Lebih-lebih lagi mereka masih dalam keadaan suci bersih hatinya. Moga En.Faizznur masih mempunyai masa yang cukup untuk MENGGANTIKAN duit anak-anak yatim itu andai benar En.Faizznur menggunakannya. Sekalipun mereka masih kecil, mereka tiada siapa untuk melindungi, mereka masih mempunyai Allah yang melihat setiap air mata mereka. Yang Maha Mendengarkan doa-doa malam hari mereka. Yang Maha Mengetahui isi hati mereka. Jangan sampai Allah terbalikkan kesedihan mereka terhadap keluarga En.Faizznur. Ketika itu, tiada lagi jalan untuk En.Faizznur berjalan dan tiada lagi ruang untuk En.Faizznur mencari peluang.
Semoga surat ini mampu menjentik hati kecil En.Faizznur sekeluarga untuk bertaubat.
Salam Ibrah dari Saya,
Nur Amani, Si Yatim Piatu.
azian mazwin
org malaysia sangat pemurah, suka menderma , lembut hati
. Tanpa mereka sedari ada yg menangguk di air keruh. Mengmbil kesempatan baik yg berkenaan dan peminta sedekah/pengemis.
Serupa ler yg kita tengok peminta sedekah yg macm cendawan tumbuh siap berumah di pintu2 masuk bank n tak putus2 org ramai bersedekah. padahal bila tiba waktu balik nanti yg dtg menjemput mereka ( yg nmpak depan mata) motor canggih2 model baru. kita nak beli motor pun beli yg 2nd hand dr pinang.
Memang apalah seringgit dua tu tetapi bila dah ramai2 pakat bagi bayangkan berapa ratus sehari dia org dapat ??? kita menggalakkan pengemis/peminta sedekah berleluasa sedangkan mereka sihat tubuh badan n mengkayakan sendikit pengemisan