Hari ini Mahkamah Majistret Seremban melepaskan dan membebaskan Azizan Manap, 44, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya.
Azizan pada hari ini hadir ke mahkamah bagi menghadapi perbicaraan pertama atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap seorang muridnya, pada Oktober lalu.
Dianggarkan 300 orang terdiri daripada guru, ibu bapa, penduduk setempat, ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menghadiri perbicaraan itu.
Menurut kronologi kes sebelum ini, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah sebelum dituduh di mahkamah pada 31 Oktober lalu.
Bapa Mendapat Tekanan dari Pelbagai Pihak
“SAYA belum bersedia,” demikian kata bapa kepada murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa menghadapi masalah disiplin sehingga menyebabkan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan diheret ke mahkamah.
Lelaki berusia 50 tahun itu yang ditemui di rumahnya di Nilai, hari ini, mendakwa menerima banyak tekanan daripada pelbagai pihak selepas kes berkenaan menjadi tular di Facebook (FB).
Akan Jelaskan Perkara Sebenar Esok
“Saya akan menjelaskan mengenai apa sebenar yang berlaku, esok. Sekarang ini kami sekeluarga menerima terlalu banyak tekanan,” katanya yang enggan ditemubual lebih lanjut.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak Md Fakarudin Ab Rahman meminta orang ramai supaya tidak terus menyalahkan keluarga murid itu dan membuat spekulasi berhubung isu berkenaan.
Pihak Hospital Minta Bapa Murid Buat Laporan Polis
“Bapa murid terbabit membuat laporan polis apabila diminta pihak hospital berbuat demikian selepas anaknya dibawa mendapatkan rawatan.
“Dia sebenarnya hanya mengikut prosedur undang-undang sehingga kes dibawa ke mahkamah. Bukan bapa murid itu yang menyaman Cikgu Azizan di mahkamah,” katanya.
Md Fakarudin berkata, murid itu dan keluarga sewajarnya diberi peluang untuk meneruskan hidup dengan tenang dan masyarakat tidak terus menuding jari menyalahkan mereka.
Katanya, sebelum ini pihaknya sudah berusaha melakukan terbaik termasuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, namun tetap bersyukur kes berkenaan sudah selesai.
Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, melepas tanpa membebaskan Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya.
Kata-kata Cikgu Azizan Selepas Dibebaskan Oleh Mahkamah
“Saya memaafkan anak murid saya dan keluarganya. Sudah pasti saya mendoakan dia berjaya suatu hari nanti dan jadi anak yang baik,” kata Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan selepas dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.
“Dari lubuk hati, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya kepada guru, PIBG, NUTP dan semua yang hadir.
“Saya hargai semua doa mereka. Saya anggap anda semua sahabat dan saudara saya. Saya mendoakan kita semua dirahmati. Saya tidak berdendam dengan murid itu serta keluarganya,” katanya.